Amsal · Proverbs

11:28
Dia yang menaruh percaya kepada kekayaannya akan jatuh: tetapi orang benar akan makmur seperti ranting.

Patutkah kamu menaruh percaya kepada wang untuk kebahagiaan? Orang bebal memanggilnya kemerdekaan kewangan atau keterjaminan kewangan. Mereka memikir bahawa kekayaan akan melindung dan memakmurkan mereka. Tetapi orang yang percaya kepada wang dan kekayaan akan jatuh dan dibinasakan, sementara dia dengan kehidupan yang benar akan dilindungi dan makmur.

Allah telah mengutus Raja Salomo yang kaya untuk memberi amaran kepadamu tentang perdayaan ilusi kekayaan. Di sinilah pelajaran untuk memeliharamu supaya jangan membazir kehidupanmu dengan mengejar mimpi yang bukan-bukan. Walaupun Salomo mengaku bahawa wang boleh membantu dalam sesetengah situasi, jika Allah memberkatinya, kewajaran peribadi akan membantu dalam segala situasi, sebab ia menjamin pelbagai berkat Allah untuk kedua-dua masa kini dan akhirat.

Jika orang miskin telah menulis kata-kata ini, kamu akan mengesyaki bahawa dia mengkritik kemakmuran kerana beriri hati kepada gaya hidup mewah orang kaya. Kamu mungkin dapat dengan munasabah mengetepikan kata-katanya, kerana kamu akan tahu bahawa dia tiada pengalaman dengan wang. Walau bagaimanapun, Raja Salomo, iaitu raja yang paling kaya di Israel, telah menulis kata-kata ini. Dan Tuhan Allahnya mengilhamkan hikmah tersebut.

Salomo mengajar hikmah dengan membuat perbandingan. Dia berkata, “Lebih baik memiliki sedikit bersertakan kewajaran daripada pendapatan besar tanpa kewajaran” (Ams 16:8). Ayahnya, Daud, pernah mengajar, “Sedikit yang dimiliki orang benar lebih baik daripada kekayaan banyak orang durjana” (Maz 37:16). Dunia, iblis, dan dagingmu menolak nasihat ini, sebab mereka mahu menjual kepadamu ketamakan dan kedambaan. Adakah kesaksian Allah, Daud, dan Salomo cukup bagimu untuk percaya kepada amsal ini?

Orang yang menaruh percaya kepada kekayaannya akan jatuh. Apakah yang akan dilakukannya ketika dia mendapat tahu bahawa dia tidak berpuas hati tetapi mahu lebih lagi (Pkh 5:10)? Sesudah dia belajar bahawa perbelanjaannya telah bertambah secepat penambahan pendapatannya (Pkh 5:11)? Ketika isterinya menang alimoni yang besar dalam perbicaraan mahkamah terhadap dirinya? Ketika pemerintah yang mengenakan cukai mahu bunga dan denda bagi cukai yang tidak dijelaskan? Ketika dia sedar bahawa anak-anaknya merupakan orang bebal dan akan dengan lekas membazir warisannya sesudah mereka memilikinya?

Apakah yang akan kamu buat, ketika doktor menyatakan, “Kamu ada kanser; tiada apa pun yang dapat kami buat untuk membantu”? Akankah kamu membelanja segala yang dimilikimu untuk merawat penyakit yang tidak dapat dirawat? Akankah kamu membeli morfin untuk mengurangkan kesakitannya sebelum kamu mati? Akankah kamu membeli insuran nyawa yang sungguh mahal sampai tidak mungkin? Akankah kamu membeli lilin orang Budha atau lilin orang Katolik? Akankah kamu membeli makanan yang tidak dapat dinikmatimu? Atau akankah kamu akhirnya percaya kepada Allah, Yang membantu orang benar malah ketika mereka berbaring di katil dengan penyakit (Maz 41:1-3)?

Pertimbangkan dua orang kaya yang Yesus pakai sebagai contoh yang buruk sekali kerana menaruh percaya kepada kekayaan. Salah satu orang hidup dan makan dengan mewah setiap hari, tetapi dia masuk neraka sesudah mati, sementara pengemis yang merana dan yang berpenyakit di pintu rumahnya masuk ke syurga (Luk 16:19-25). Seorang lagi yang kaya memegahkan dirinya tentang rancangan untuk membina gudang yang lebih besar untuk menyimpan segala hasil tambahannya, tetapi Allah memanggilnya orang bebal, dan menanya mana satu orang yang akan mewarisi harta pusakanya, kerana dia akan mati pada malam itu juga (Luk 12:15-21).

Memiliki kekayaan bukan dosa, sebab orang salih yang terkenal di dalam Alkitab pun adalah kaya namun hal menaruh percaya kepada kekayaan ialah dosa (Maz 62:10). Cita-cita dan keinginan untuk beroleh kaya itu yang akan membunuh (Ams 23:4-5; 1Tim 6:6-11). Ia tidak mungkin secara kemanusiaan bagi orang sedemikian dipalingkan semula (Mak 10:21-27). Mereka dengan bebal percaya di dalam kekayaan mereka sendiri tanpa mempedulikan maut (Maz 49:6-14). Hanya rahmat Allah dapat menyelamatkan orang bebal yang nafsunya dan cita-citanya untuk wang menyangkal Allah seperti orang penyembah berhala (Ayb 31:24-28).

Nabi Agur berdoa kepada Allah untuk menyelamatkannya daripada kemiskinan dan kekayaan (Ams 30:7-9). Kekayaan ialah kepedihan untuk diperoleh dan untuk dipelihara, dan kamu tidak dapat mengambilnya bersama (Pkh 5:10-12; 1Tim 6:7-8). Orang yang salih mengutamakan Allah pertama-tama dan perniagaan menjadi kedua yang jauh-jauh (Mat 6:24,33). Mereka tahu sukatan benar akan kejayaan ialah kesalihan bersertakan kepuasan (1Tim 6:6). Ketika kekayaan bertambah, mereka membelanjakannya untuk kemuliaan Allah dan umat Allah (Kis 4:34-37; 1Tim 6:17-19).

Orang benar adalah seperti ranting, yang dihubungkaitkan kuat-kuat kepada Allah, Juruselamatnya (Yoh 15:5). Dia percaya kepada Allah untuk segala sesuatu, dan dia makmur terus-menerus (Maz 1:1-6; Yer 17:7-8). Betapa besar perbezaannya di antara daun dan ranting! Daun hanya tahan satu musim, dan kemudian ia lenyap. Ranting pula, walaupun mungkin nampak telanjang pada musim sejuk, akan akhirnya bercambah dan bertumbuh semula, menjangkau lebih tinggi dari sebelumnya, sehingga ia dialihkan ke dalam hadirat Allah.

Keselamatan dan iman menjadikan perbezaan yang sungguh besar di dunia. Orang yang memiliki hidup yang kekal ada segalanya yang penting. Dia seorang anak Allah melalui pilihan dan penjanaan semula, dan Allah telah dengan kaya memberinya iman, sukacita, damai sejahtera, dan harapan (2Tes 2:13; Rom 15:13). Orang ini yang tidak terpandang menurut pendapat dunia patutlah bersukacita (Yak 1:9; Maz 73:18-28). Sebaliknya, orang yang kaya dan terkenal jatuh sakit oleh kedaifannya, dan kemudian dibuang ke dalam liang kubur, dan kemudian ke dalam neraka. Jika orang itu mampu, dia akan menjerit untuk memberi amaran kepadamu untuk bercita-cita tinggi terhadap Allah dan bukan terhadap kekayaan.