Amsal · Proverbs

18:21
Mati dan hidup berada di dalam kuasa lidah: dan orang yang mengasihinya akan memakan buah daripadanya.

Ucapanmu akan sama ada membantumu atau melukakanmu (Ams 10:14; 12:14; 13:2-3; 18:6-7, 23). Jika kamu lebih tua, maka ia sudah demikian! Banyak orang telah merosakkan kehidupan mereka dengan tidak menguasai mulut mereka. Orang yang lain telah dihormati bagi lidah mereka yang baik dan yang berhikmah. Ucapanmu akan membawa sama ada berkat atau kutuk daripada kedua-dua Allah dan manusia, pada kedua-dua zaman hidup dan zaman akhirat. Adakah kamu mengasihi ucapan yang baik atau ucapan yang buruk? Masa depanmu akan sesungguhnya dibentuk oleh pilihanmu dan amalanmu.

Lidah dapat membunuh atau menyelamatkan nyawa orang lain. Saksi dusta boleh menyebabkan kematian orang yang tidak bersalah, dan sebaliknya seorang penghibur dapat memulihkan orang yang kecewa dengan kata-kata yang menyenangkan. Seorang pemfitnah dapat membunuh reputasi orang baik, dan sebaliknya, seorang penasihat yang berhikmah dapat memandu orang muda mengharungi bahaya kemudaan. Perempuan yang menggoda dapat merosakkan kehidupan seorang lelaki, dan sebaliknya, seorang ibu yang salih dapat mengajar anaknya kebenaran. Ucapan memang membawa kesan kepada orang lain, tetapi itu bukan pelajaran amsal ini.

Lidah juga membawa kesan kepada pengucap kata-kata. Mati dan hidup dalam kuasa lidah itu ialah kesan-kesan ucapan yang kena pada dirimu. Kamu peroleh pelajaran ini melalui klausa yang kedua amsal ini, yang mengajar bahawa mereka yang mengasihi pemakaian lidah itu akan memakan sama ada buah kematian atau buah kehidupan. Kamu juga mendapati pelajaran ini melalui konteksnya, sebab amsal yang sebelumnya berbunyi, “Perut seseorang akan dipuaskan dengan buah mulutnya; dan dengan kemajuan bibirnya dia akan dikenyangkan” (Ams 18:20).

Pertimbangkan hal mengasihi ucapan, yang merupakan kunci bagi amsal ini. Orang jahat pun mengucapkan hal yang baik bagi tujuan tamak mereka, dan orang baik kadang-kala tersilap dan mengatakan apa yang tidak harus dikatakan (Ams 23:6-8; Peng 10:1). Tetapi hanya orang baik yang mengasihi ucapan yang baik, dan hanya orang jahat betul-betul mengasihi ucapan yang jahat. Hukum amsal ini berasaskan apa jenis ucapan yang disukaimu – iaitu ucapan yang menjadi dorongan hatimu, mulutmu, dan amalan-amalanmu.

Apabila kamu nampak seorang lelaki gagal dalam kehidupannya, dia besar kemungkinan tidak menguasai lidahnya. Kamu akan nampak kegagalan dalam perkahwinan-perkahwinannya, anak-anaknya, dan kerjayanya. Sikap suka kritik dan kekerasan menggadaikan rasa sayang terhadapnya. Kata-kata tokok tambah dan keterlampauan menggadaikan kepercayaan terhadapnya. Mengadu dan bersungut-sungut menggadaikan pengaruhnya. Keangkuhan dan ketidakhormatannya terhadap kekuasaan menggadaikan peluang naik pangkat. Sikap mulut murainya menggadaikan bilangan para pendengarnya. Perbuatan fitnah dan perbuatan membawa mulut itu menggadaikan kehormatannya. Kebebalannya dan sikapnya yang suka bergurau menggadaikan kemuliaannya. Janji-janji yang dimungkiri menjadikannya seorang pembohong. Dia ini sudah rosak.

Dia telah membunuh dirinya dengan memakai lidahnya! Dia telah memakan buah kematian! Dia memakai kuasa lidahnya sampai dirinya binasa. Dia tidak akan menguasai rohnya atau mengajar lidahnya hikmah (Ams 16:23; 25:28). Oleh itu, kedua-dua Allah dan manusia menghukumnya bagi kebebalan mulutnya. Allah berpaling lalu menjadi musuhnya, dan manusia mengelakkannya dan memotong tali persahabatan dengannya atau menghentikan usaha-usaha yang mungkin menguntungkan sesama diri. Dia telah memakai kuasa lidahnya sampai dirinya binasa dan mati.

Orang lain mudah maju, kerana mereka menguasai ucapan mereka. Mereka mengehadkan kata-kata mereka (Ams 10:19; 17:27-28). Mereka memakai kelemah-lembutan daripada menengking (Ams 15:1; 25:15). Mereka hanya mengucapkan kata-kata kebenaran yang pasti (Ams 22:17-21). Mereka tidak akan bercakap menentang orang yang tidak hadir (Ams 16:28; 26:20-22). Mereka belajar dan berfikir sebelum berucap (Ams 15:28). Mereka selalu bersyukur. Mereka kurang bercakap kecuali ditanya (Ams 18:13; 29:11; Yak 1:19). Kata-kata baik budi mereka itu memenangi hati kaum lelaki dan kaum perempuan – tidak lama kemudian, mereka menjadi sahabat kepada raja (Ams 16:13; 22:11). Mereka merupakan pokok kehidupan kepada yang lain dan kepada diri mereka sendiri (Ams 10:11; 13:3; 15:4).

Apabila seorang perempuan gagal, dia kemungkinan besar tidak menguasai lidahnya. Ucapan yang kasar dan kritikal, peringatan yang cerewet, tempelak yang bongkak, atau cadangan yang bertubi-tubi membinasakan rasa sayang suaminya – perempuan ini telah membunuh perkahwinannya. Anak-anaknya tidak dapat menunggu untuk keluar dari rumahnya, kerana kritikan yang melampau dan yang berturut-turut itu terlalu besar bebannya. Dia menjelekkan! Dia tidak ada sahabat, kerana semua orang membenci perempuan yang jelek. Dia membunuh perkahwinannya, rumaht angganya, dan kehidupan sosialnya melalui lidahnya. Dia telah memakan buah kematian. Dia sudah mati.

Perempuan yang baik budi selalu dihormati (Ams 11:16). Peraturannya mudah dan mutlak – seseorang perempuan yang menguasai lidahnya akan mendapat banyak kawan dan nama yang mulia. Dia ada hukum kebudian dalam mulutnya, dan dia hanya bertutur ketika ada sesuatu yang berhikmah dan penting untuk dituturkan (Ams 31:26). Dia tidak berucap dengan tujuan untuk mendengar ucapannya sendiri, untuk memberi sumbangan yang remeh, untuk memperbetulkan butir-butir yang kecil, atau untuk memastikan bahawa dia itulah yang menyumbang paling banyak dalam sesuatu kumpulan. Dia ada roh yang suka menurut dan yang tenteram – iaitu roh yang benci bercakap tanpa tujuan yang mulia (1Pet 3:3-4).

Hai lelaki muda, belajarlah ucapan yang sihat sebelum ia terlambat. Bergaullah hanya dengan orang yang berbaik budi dan berhikmah, yang mampu menguasai mulut mereka. Tolaklah setiap orang yang memiliki mulut yang bebal dan yang lantang. Belajar hikmah Salomo yang berkaitan dengan mengajar bibirmu (Ams 4:24; 6:12; 8:13; 10:31-32; 15:28; 16:23). Kamu dapat mempertingkatkan kemajuan masa depanmu kalau belajar mengekalkan ucapan yang baik bagi setiap keadaan.

Hai perempuan muda, kamu harus belajar dan mengamalkan apa yang sama di atas. Jika kamu tidak berbuat sedemikian, maka sukarlah bagimu untuk menemui lelaki yang sanggup merosakkan kehidupannya untuk berkahwin denganmu. Seorang perempuan yang jelek ialah suatu ancaman yang mengerikan bagi lelaki, dan seorang lelaki muda dapat menemuimu dengan telinganya. Kamu harus membenci borakkosong, ketawa berdekit-dekit, borak bebal, perbahasan yang angkuh dalam pendapat sendiri, dan ciri-ciri jelek yang lain.

Hai lelaki tua, kamu sedang memakan buah hasil mulutmu. Satu-satunya harapan yang kamu ada adalah untuk mengakui dosa-dosa ucapanmu kepada Allah dan manusia, hanya ucapkan kata-kata yang berbaik budi dan yang berhikmah pada waktu ditanya orang, dan rayulah kepada Allah untuk hikmah dan kekuatan untuk menguasai lidahmu yang tidak dapat dikuasai. Belajarlah nasihat Paulus bagimu untuk menjadi terkawal dan serius, jadi, hentikan gurauan dan borak bebal (Tit 2:1).

Hai perempuan tua, kamu besar kemungkinan sudah meninggalkan parut dalam hati suamimu. Dan anak-anakmu, sementara tidak memberitahumu, bersukacita ketika mereka dapat melarikan diri daripadamu atau menamatkan perbualan telefon denganmu. Berapa orang suka kehadiranmu dan mengejar perbualan denganmu? Jika kurang bilangannya, maka kamu ada ucapan yang bermasalah. Ikutilah nasihat yang telah diberikan kepada lelaki tua dan percayalah kepada Allah untuk belas kasihan.

Para pembaca, kata-katamu akan membawa kematian atau kehidupan di dunia ini dan juga di akhirat. Yesus telah berkata, “Tetapi aku berkata kepada kalian, Bahawa bagi setiap perkataan kosong yang diucapkan manusia, mereka akan memberi pertanggungjawaban bagi itu pada hari penghakiman. Sebab oleh kata-katamu kamu akan dibenarkan, dan oleh kata-katamu kamu akan dikutuki” (Mat 12:36-37). Mati dan hidup ada dalam lidahmu. Pilihlah hidup!