Amsal · Proverbs

24:5
Orang yang berhikmah adalah kuat; ya, orang yang berpengetahuan menambahkan kekuatan.

Kekuatan di sini ialah kemampuan untuk mengenal baik dan berbuat baik dan kemampuan untuk mengesan salah dan menentang yang salah dalam semua segi kehidupan. Hikmah memberi seseorang manusia kekuatannya. Orang yang berhikmah itu kuat. Orang yang berpengetahuan beroleh kekuatan. Orang bebal lemah. Mereka tidak tahu apa yang harus dibuat, jadi mereka tidak melakukannya, dan mereka tidak dapat memahami atau menahan apa yang mereka tidak harus buat.

Sir Francis Bacon (1561-1626) berkata, “Pengetahuan Itu Kuasa.” Tetapi dia hanya meniru Salomo yang telah menulis kata-kata ini dari 2500 tahun lebih awal. Beri kemuliaan kepada Allah! Kuasa dan kekuatan hikmah dan pengetahuan ada di hadapan kalian, para pembaca. Dekapilah buku Amsal!

Hikmah ialah kuasa untuk menghakimi dengan betul di dalam apapun situasi. Ia merupakan kemampuan untuk melihat kesulitan dan bahaya, mengelak godaannya dan jeratnya, dan memilih jalan yang lebih baik. Hikmah berdasarkan takut akan Tuhan (Ams 1:7; 9:10), tetapi ia juga termasuk pengurusan yang bijak di alam lahiriah. Hikmah itu memanglah kekuatan (Ams 8:14; 10:29).

Kebebalan ialah kekeliruan yang tidak mengenal mana yang betul dan mana yang salah dan terus cenderung kepada nafsu dan hati naluri manusia. Ia tidak boleh nampak masalah dan bahaya, tidak dapat menahan jerat dan godaan kehidupan,dan tidak memilih apa yang benar untuk dibuat. Kebebalan menolak takut akan Tuhan dan menaruh percaya kepada hati sendiri (Maz 14:1; 53:1). Ia menonjolkan diri dengan melakukan banyak kesilapan di dalam hal-hal kehidupan yang sederhana sahaja (Ams 13:16; 14:8, 18; 15:21; 16:22; 26:11). Kebebalan itu memang kelemahan.

Berapa banyak perbezaan yang ada di antara hikmah dan kebebalan? Raja Salomo, selepas memerhati dan menaakul semua yang dilakukan di dunia ini membuat kesimpulan bahawa hikmah itu lebih baik daripada kebebalan sepertimana cahaya lebih baik daripada kegelapan (Pkh 2:12-14). Seorang anak yang miskin dan berhikmah lebih baik daripada seorang raja yang tua dan bebal, yang tidak akan menerima pembetulan (Pkh 4:13). Setiap pembaca yang muda haruslah bersukacita bagi peluang yang ajaib ini untuk menambahkan kekuatan melalui hikmah malah kekuatan yang melebihi raja.

Pertimbangkan seorang berhikmah dan seorang bebal yang masing-masing ingin menebang pokok dengan kapak yang tumpul. Orang bebal itu mengayun dan mengayun kapaknya yang berat itu sampai penat namun gagal memotong sedikitpun daripada batangnya yang tebal. Orang berhikmah itu duduk di bawah tempat teduh dan mengasah kapaknya lalu menebang pokok itu dengan hanya beberapa ayunan yang disasarkan dengan baik. Itulah gambaran oleh Salomo akan kekuatan hikmah (Pkh 10:10)! Berilah kemuliaan kepada Allah!

Sudah tentulah, di tempat jamuan, orang bebal akan menunjuk-nunjukkan otot bisep dia yang mengagumkan akibat daripada ayunannya yang bertalu-talu sepanjang hari pada satu pokok sahaja. Orang berhikmah pula berdiam dan mendengar sambil makan sementara sudah menebang dua puluh pokok yang telah dibuang kulit, diukur, dibelah dan dilonggok! Ah, hikmah! Kekuatan benar itu bukan saiz lenganmu tetapi jumlah hikmahmu! Tanpa hikmah, tak kira apapun hal yang diusahakan, lebih banyak usaha diperlukan (Pkh 10:10).

Salomo menghargai hikmah lebih daripada kekuatan jasmani (Ams 21:19; Pkh 7:19). Dia menceritakan bagaimana seorang berhikmah di kota yang kecil dapat menewaskan raja yang besar yang sedang mengepung kota itu dengan tembok yang besar (Pkh 9:13-18). Salomo menulis, “Hikmah lebih baik daripada kekuatan – hikmah lebih baik daripada senjata peperangan.” Sungguh berkuasa! Seorang raja yang berhikmah akan selalu dapat menewaskan seorang raja yang bebal, walaupun kurang bilangan angkatannya dan kurang bilangan senjatanya.

Hikmah sedemikian dipaparkan dalam ciptaan-ciptaan pintar di seluruh dunia (Ams 8:12). Pernah dinyatakan pepatah, “Keperluan menjadi ibu yang melahirkan banyak ciptaan”.Tetapi hanya seorang yang berhikmah akan mempertimbangkan suatu ciptaan untuk menjimat usaha dan mengurangkan kesukaran. Orang bebal pula berterusan dengan usaha yang sulit kerana dibutakan tabiat, tradisi dan fikirannya yang kecil. Banyak bangsa dan negara yang masih memaparkan kejahilan ini yang degil.

Banyak orang menikmati penularan mesin dan peranti di generasimu iaitu mesin dan peranti yang menambahkan daya jasmani dan kekuatan dengan ribuan kali ganda.Sebahagian besar ciptaan ini ialah hasil langsung daripada hikmah melalui pengetahuan Allah di negara-negara yang berbahasa Inggeris pada dua abad yang lalu ini. Takut akan Tuhan ialah hikmah! Hikmah itu kekuatan!

Tetapi, yang lebih utama, hikmah itu juga kekuatan akhlak. Seseorang manusia yang takut akan Tuhan dan mengenal Allahnya berkemampuan untuk menahan godaan dosa dan sebaliknya memilih kebenaran. Orang yang sedemikian ada kuasa arahan firman Allah untuk mengekalkan kekuatannya walaupun berhadapan dengan tiga daya tarikan Syaitan dan dunia yang menentang Allah (Maz 119:9; 1Yoh 2:16).

Yusuf ialah orang yang berhikmah. Pemuda yang kacak ini berada di kota yang asing untuk suatu kunjungan niaga yang panjang. Dia sungguh berjaya dan awanama di kota yang agak jauh ini. Seorang perempuan yang cantik ingin bersetubuh dengannya. Dia menolak undangannya dengan tegas sambil memanggil perbuatan berzina itu suatu, “kejahatan yang besar, dan dosa terhadap Allah.” Perempuan itu cuba menggodanya hari demi hari. Dia tidak mempedulikannya. Suatu hari dalam pekerjaan biasanya, sewaktu mereka bersendirian, perempuan itu memegangnya dan merayu kepadanya untuk berasmara dengannya. Dia melarikan diri tanpa berlengah-lengah untuk berucap atau menangguh sesaatpun. Dia kuat! Akhirnya dia bertakhta di Mesir.

Simson orang yang bebal. Pemuda dengan kekuatan jasmani ini berjelajah ke kota-kota asing untuk mengagumi para perempuan yang cantik-cantik. Dia kerap kali bermasalah dengan para pelacur di sana. Akhirnya, salah seorang pelacur menggodanya, yang telah memberitahunya tiga kali dia akan membinasakan Simson, dan walaupun begitu, Simson meluahkan segala isi hatinya. Pelacur itu menjual Simson kepada musuh-musuhnya. Musuh-musuh Simson itu mencungkil keluar matanya, membelenggukannya, dan memaksanya untuk menolak batu kisar di dalam penjara. Nyawa Simson sudah lesap. Simson itu lemah! Sungguh lemah!

Mana di antara dua orang pemuda ini lebih kuat? Simson dengan kekuatan jasmaninya atau Yusuf yang seorang hamba? Salomo pernah menceritakan hal banyak lelaki kuat yang sudah dibinasakan oleh perempuan-perempuan asing (Ams 7:26), dan Simson itu salah satu dari kalangan mangsa mereka. Tetapi Yusuf itu berhikmah kerana mengenal Allah yang memberikannya kekuatan. Orang yang kepandiran itulah yang mendekati perempuan yang jalang dan yang liar (Ams 7:7). Kekuatan akhlak, hasil daripada hikmah Allah, ialah sesuatu yang amat berharga. Mereka yang benar-benar mengenal Allah akan melakukan perbuatan yang besar(Dan 11:32), sementara penolak yang bebal yang menolak agama yang kudus itu dibinasakan hanya oleh seorang perempuan!

Seseorang berhikmah tahu untuk mengamati urusan sebelum membuat keputusan. Dia tahu bahawa nasihat yang berhikmah daripada orang lain, dan daripada banyak orang, dapat menyelamatkannya daripada masalah yang serius (Ams 24:6). Hikmah sedemikian membekalkan kekuatan. Ia membantu orang itu untuk beroleh kejayaan dan mengelak masalah. Hikmah itu kekuatan, dan sesetengah daripadanya datang melalui para penasihat. Orang bebal tidak dapat melihat bahaya, dan mereka juga tidak bertanya kalau orang lain dapat nampak bahaya itu. Mereka maju dengan membabi buta (Ams 14:15; 22:3; 27:12). Keputusan-keputusan besar kehidupan, seperti peperangan, seharusnya hanya dibuat berasaskan banyak nasihat (Ams 24:6).

Orang kuat mengekalkan kekayaan (Ams 11:16). Harta benda mereka banyak dan selamat, dan diisikan dengan benda berharga. Pertimbangkan konteks yang sebelum amsal ini (Ams 24:3-4). Ada banyak jerat dan perangkap di dalam kehidupan yang merampas wang seseorang, tetapi orang kuat langsung tidak disentuh. Bagaimana? Mereka itu berhikmah! Mereka ada budi bicara dan kebijaksanaan untuk mengelak bahaya dan kesilapan kewangan.

Mereka mengelak semua perangkap kebebalan yang telah ditunjukkan Salomo dalam amsal-amsalnya sebagai amaran. Mereka mengelak kekukangan, terlanjur tidur, sikap lahap, kemabukan, kenikmatan yang melampau, pembaziran, cadangan sia-sia untuk menjana keuntungan, pelaburan yang bebal, ceramah akan kemerdekaan kewangan, perubahan politik, menjadi penjamin pinjaman untuk rakan-rakan, perempuan asing, ketidakhormatan terhadap penguasa, hal kuat berbelanja, amalan-amalan menipu dalam perniagaan, pengabaian perniagaan, dan semua kesia-siaan dusta yang merampas wang daripadanya. Mereka berhikmah. Mereka kuat.

Hikmah juga mengenal jawapan-jawapan kepada persoalan kehidupan yang membingungkan orang bebal. Jawapan-jawapan ini ditunjukkan dalam kitab-kitab suci (Yes 8:20). Jadi, hikmah itu membekalkan kekuatan untuk apapun perbahasan atau perbincangan (Ams 15:28; 22:17-21; 24:26; 26:4-5; Maz 119:42). Seseorang manusia dengan hikmah Allah tidak berasa malu di mana-mana pergaulan: dia sudah tahu kebenaran-kebenaran yang diperlukan (Maz 119:46; Dan 3:16).

Orang yang paling kuat ialah orang yang takut akan Tuhan Kristus, mengenal kitab-kitab suci dengan baik, berjalan di dalam Roh, dan berdoa untuk hikmah. Inilah punca-punca agung untuk hikmah, dasar untuk kekuatan yang besar (2Tim 3:15-17; Efe 3:16; 6:10; Yak 1:5). Keselamatan jiwamu, keluargamu, dan gerejamu akan kuat dimantapkan di dalam kebenaran (Ibr 13:9), supaya jangan kamu menjadi kanak-kanak, terumbang-ambing, dan terbawa-bawa oleh segala angin-angin doktrin (Efe 4:16).

Semua orang ingin menjadi kuat, tetapi hanya segelintir sahaja yang akan mencari kekuatan di dalam sumber-sumber yang telah disebutkan. Apakah yang akan kamu pilih pada hari ini, hai pembaca? Kekuatan atau kelemahan? Kekuatan dengan segala keamatannya sedang ditawarkan (Kol 1:9-11). Rendahkanlah dirimu, dan pilihlah takut dan hikmah Allah pada hari ini juga!