12:26
Orang benar lebih cemerlang daripada jirannya: tetapi jalan orang durjana menggodakan mereka.
Bukan semua manusia sama, bahkan jauh sekali. Seorang yang benar lebih mulia daripada jirannya yang jahat dalam akhlak, kelakuan, kedudukan, dan pengharapan. Namun kelebihan ini tidak memberi manfaat kepada jirannya dan orang jahat lain, kerana mereka diperdaya oleh dunia untuk terus dalam kejahatan mereka. Mereka tidak dapat dan tidak mahu memilih jalan kebenaran yang lebih mulia.
Saul dan Daud, dua raja pertama Israel, menggambarkan amsal ini dengan sempurna sekali. Salomo pasti mengenali perbandingan ini sejak kecil, maka Roh Kudus merumuskan sejarah kerajaan sebelum zamannya dalam pernyataan hikmah yang ringkas dan berharga ini.
Daud ialah seorang yang benar menurut hati Allah (1Sam 13:14; Kis 13:22). Kelakuannya begitu sempurna sehingga namanya sangat dihormati di Israel (1Sam 18:30). Setiap raja dibandingkan dengannya (1Raj 15:1-5), bahkan Tuhan Yesus dikenali sebagai Daud dan Anak Daud (Yer 30:9; Mat 22:42). Pemazmur manis Israel itu lebih mulia daripada jirannya. Dia seorang yang mulia, sebagaimana masih diakui hingga kini.
Saul ialah jirannya. Saul seorang yang fasik. Dia tidak menunggu Samuel, tetapi mempersembahkan korban sendiri (1Sam 13:10-14). Dia cuba membunuh anaknya sendiri kerana makan sedikit madu, tetapi rakyat menghalangnya (1Sam 14:43-45). Dalam hal Amalek, Allah menyamakan pemberontakan dan kedegilannya dengan sihir dan penyembahan berhala (1Sam 15:22-23). Daripada menunggu Tuhan, dia pergi berunding dengan sihir perempuan di Endor (1Sam 28:1-7).
Allah membandingkan kedua-dua lelaki ini. Samuel berkata, “TUHAN telah mengoyakkan kerajaan Israel daripadamu pada hari ini, dan memberikannya kepada seorang jiranmu yang lebih baik daripadamu” (1Sam 15:28). Samuel juga berkata, “TUHAN telah melakukan kepadanya seperti yang difirmankan olehku: kerana TUHAN telah mengoyakkan kerajaan dari tanganmu, dan memberikannya kepada jirammu, iaitu Daud” (1Sam 28:17). Fahamilah peribahasa ini. Perhatikan perbandingan yang dibuat oleh Allah.
Saul tahu kecemerlangan unggul Daud. Dia mendengar Daud bermain kecapi dengan mahir; dia melihat Daud membunuh Goliat; dia mendengar jawapan rendah hati Daud; dia melihat anaknya Yonatan mengutamakan Daud; dia melihat rakyat menerima Daud; dan dia tahu Allah bersama Daud. Dia berkata kepada Daud, “Kamu lebih benar daripadaku: sebab kamu telah mengganjariku dengan kebaikan, sementara aku telah mengganjarimu dengan kejahatan” (1Sam 24:17). Saul juga berkata kepada Daud, “Diberkatilah kamu, hai anakku, Daud: kamu akan melakukan perbuatan yang besar, dan juga akan kekal berjaya” (1Sam 26:25).
Namun pengetahuan tentang keunggulan Daud tidak memberi manfaat kepada Saul, kerana iri hati dalam hatinya yang durjana mendapat lebih ketenangan dan kepuasan dalam jalan kedurjanaan. Dia tergoda meninggal kewajaran Daud kepada kebebalannya sendiri. Daripada memohon pengampunan Allah dan bersahabat dengan Daud, dia berulang kali cuba membunuhnya dalam keradangan cemburu. Dia semakin tenggelam dalam kejahatan sehingga akhirnya rebah di tanah di hadapan ahli sihir Endor. Dua hari kemudian kepalanya dipenggal dan tubuhnya digantung di dinding perkampungan orang Filistin.
“Orang benar lebih cemerlang daripada jirannya.” Kebenaran dan kewajaran ialah matlamat. Kamu perlu hidup seperti anak-anak Allah (Mat 5:43-48; Efe 5:8; 1Tes 5:5-11; 1Pet 2:9-11). Jika dunia membenci kamu, bersukacitalah, kerana mereka membenci Juruselamat dan semua murid-Nya, meskipun dunia jahat ini tidak layak menerima kehadiran mereka (Ibr 11:38).
“Tetapi jalan orang durjana menggodakan mereka.” Orang dunia mungkin mengumpul kekayaan dan hidup mewah; mereka mungkin menyerahkan diri dengan rakus kepada segala keseronokan jasmani; mereka mungkin hidup dengan pujian pengikut dunia ini; tetapi mereka sedang berlari melalui pintu yang lebar dan jalan yang luas menuju kebinasaan sekarang dan kemudian.
Orang benar dan orang jahat adalah sama dalam sifat asal daripada Adam, tetapi mereka sangat berbeza dari ukuran dan sukatan yang lain. Akhlak orang benar lebih mulia, kerana mereka memiliki Roh Allah di dalam diri mereka yang membentuk mereka menurut gambar Yesus Kristus dan menghasilkan banyak buah yang tidak ada hukum yang menentangnya (Gal 5:22-23; Efe 2:10; 4:24; 2Pet 1:3). Mereka mengasihi, mengampuni, melayani, dan mati dengan tidak terbandingkan di kalangan umat manusia.
Kelakuan orang benar lebih cemerlang, kerana mereka memiliki pengetahuan mendalam tentang penghakiman yang akan datang dan kasih Kristus yang tidak terbatas untuk mendorong mereka (2Kor 5:9-15). Mereka mempunyai teladan mulia Tuhan Yesus Kristus untuk diikuti (1Pet 2:18-25). Dan mereka mempunyai peraturan sempurna hikmah syurga dalam Kitab Suci yang dibenci dunia (Yes 8:20).
Kedudukan orang benar lebih cemerlang, kerana dia ialah anak Allah, seorang raja dan imam dengan hak penuh di takhta Allah, bait Roh Kudus, dengan telinga Allah terbuka kepada doanya, seorang pengantara yang penuh simpati di sebelah kanan Allah, benar sepenuhnya melalui perbenaran dalam Kristus, sahabat Allah, dan malaikat syurga sebagai pelayan peribadinya.
Pengharapan orang benar lebih cemerlang, kerana mereka akan diterima ke dalam kemuliaan syurga dengan sukacita besar, sementara Yesus Kristus akan menolak orang jahat dan mencampakkan mereka ke dalam lautan api. Jiran mana lebih cemerlang, Lazarus di pangkuan Abraham, atau orang kaya di neraka? Warisan mana lebih cemerlang, mahligai syurga atau api neraka?
Orang jahat tidak dapat melihat keunggulan orang benar, kerana mereka tergoda oleh dosa dan Syaitan untuk mengikut dunia ke neraka. Bileam bernubuat tentang keunggulan Israel, tetapi cintanya kepada wang memperdayakannya (Bil 23:10; 2Pet 2:15). Herodes suka mendengar Yohanes Pembaptis, tetapi isterinya yang jahat memperdayakannya untuk memenggal Yohanes (Mar 6:17-29). Wajah Stefanus bersinar seperti malaikat; orang Yahudi tidak dapat menolak hikmahnya; dia berkhutbah dengan hebat; tetapi orang Yahudi yang fanatik, kerana kebencian mereka terhadap Yesus Kristus, merejamnya dengan batu (Kis 6:8 – 7:60).
Jalan orang benar dan jalan orang jahat sama sekali tidak serasi. Orang benar membenci orang jahat, dan orang jahat membenci orang benar (Ams 29:27). Begitulah sejak dahulu, dan akan tetap begitu. Orang benar mencari orang baik lain untuk mengasihi (Maz 16:3; 119:63; Tit 1:8), dan mereka berusaha sedaya upaya menghindari orang jahat (Maz 101:1-8; 2Tes 3:1-2). Orang jahat gembira dalam kumpulan besar mereka yang berlari menuruni lereng licin ke neraka, sementara orang benar bersukacita bersama segelintir orang percaya yang mencari kekudusan.
Hai pembaca Kristian, apakah yang boleh kamu pelajari? Apa yang dunia fikir tentang orang benar tidak penting! Dunia mungkin menawarkan keseronokan sementara, tetapi itu hanyalah godaan menuju kebinasaan. Orang bijak menolak dunia ini dan segala keseronokan, falsafah/filsafat, pesta, dan keistimewaannya. Hidupmu seharusnya lebih cemerlang sehingga menimbulkan pertanyaan daripada jiwa-jiwa benar yang lain (1Pet 3:15). Pegang empat aplikasi ini. Pilihlah untuk bertumbuh dalam perkenan Allah dan orang baik, dengan menolak jalan dunia jahat ini (Luk 2:52; Yak 4:4; 1Yoh 2:15-17). Jangan sekali-kali pembaca peribahasa ini tergoda oleh kegilaan dunia ini.
Tuhan Yesus Kristus yang berbahagia lebih cemerlang daripada semua manusia, namun dunia ini membenci dan menolak-Nya. Mereka berbohong tentang-Nya, menuduh-Nya secara palsu, menukar-Nya dengan seorang pembunuh, mengejek-Nya, menyeksa-Nya, dan menyalibkan-Nya dalam keadaan telanjang di kayu salib yang kejam di hadapan umum. Cinta orang Yahudi terhadap kemunafikan dan agama upacara menggodakan mereka untuk membuang jiran yang paling cemerlang yang pernah dilihat dunia! Mereka akan melakukannya sekali lagi pada hari ini, kalau mereka ada peluang. Dan mereka akan berbuat yang sama kepada para pengikutNya, yang juga lebih cemerlang daripada mereka.