23:20
Jangan berada di kalangan kaki wain; di kalangan orang yang rakus makan daging:
Ada kelimpahan besar akan segalanya, terutamanya untuk makan minum. Tidak pernah di mana-mana zaman adanya kuantiti besar makanan dan minuman yang sebegitu mampu dibeli dan yang sebegitu banyak dalam kepelbagaiannya. Sementara kadar kebanyakan ini ialah berkat, ia juga godaan untuk dua jenis dosa – kemabukan dan kelahapan.
Di sinilah hikmah bagi semua orang, tetapi terutamanya untuk orang muda. Raja Salomo memberi amaran kepada anak lelakinya tentang kepentingan untuk menjadi berhikmah dan memandu hatinya untuk menempuhi kehidupan (Ams 23:19). Adanya jalan untuk hidup dengan mulia dan dengan wajar berkenaan hal makan dan minum, tetapi banyak yang hidup dengan cara yang tidak mulia dan yang salah. Mereka berdosa terhadap Allah dengan makan dan/atau minum terlalu banyak.
Kedua-dua wain dan makanan ialah kurniaan Allah, tetapi seperti apa pun yang baik, terlalu banyak menjadi dosa. Allah telah menjadikan roti untuk kekuatan manusia, minyak untuk membekalkan asid lemak yang diperlukan tubuh, dan wain untuk mengembirakan hatinya (Maz 104:14-15; Ams 31:6-7; Pkh 10:19). Tetapi terlampau banyak roti dan minyak membawa kepada kelahapan, dan terlalu banyak wain membawa kepada kemabukan.
Teruna, yang penuh dengan kebebalan dan kesia-siaan orang muda, menyalahgunakan apa yang diciptakan bagi keuntungan mereka (Ams 22:15; Maz 25:7; Pkh 11:10; 2Tim 2:22). Mereka menganjurkan pertandingan minum dan tabiat-tabiat yang menggalakkan kelahapan. Mereka tidak melihat malu, dosa, atau percabulan tindakan-tindakan mereka. Mereka memerlukan amsal ini. Mereka memerlukan ibubapa, pastor, dan guru yang akan mengutuk amalan-amalan mereka yang bebal itu.
Amsal ini lebih luas daripada mengutuk kemabukan dan kelahapan semata-mata – Salomo menulisnya untuk mengutuk pengaitan diri dengan para pemabuk dan para pelahap. Orang berhikmah yang ingin menjadi mulia dan bernilai murni dalam kehidupan tidak akan memilih kawan yang pelahap atau yang pemabuk. Dia tahu bahawa memilih kawan yang berhikmah ialah inti kejayaannya (Ams 13:20; Maz 1:1-3; 1Kor 15:33). Dia akan mencari orang muda yang terkawal dan yang menguasai diri yang menjalani hidup yang berdisiplin pada setiap masa.
Dua jenayah orang muda ialah kemabukan dan kelahapan, dan itu ada kesan-kesannya, meskipun dosa-dosa tersebut dianggap sebagai dosa yang kurang teruk berbanding dengan dosa membunuh dan dosa berzina. Ia akan membinasakan orang dan membawanya kepada kemiskinan (Ams 23:21). Di sinilah nasihat yang berhikmah kepada orang muda. Kaki pesta pora yang disanjungi orang muda pada zaman kini, yang menganggap kemabukan dan kelahapan sebagai sukan yang tidak berbahaya dan hal yang mendapat sambutan rakan sebaya, merupakan gejala yang pasti bagi kerosakan moral suatu masyarakat yang sudah sakit.
Apakah itu kaki wain? Orang yang minum terlalu banyak wain; seorang pemabuk! Keselarian dua ayat mengenalpastikan itu sebagai pemabuk (Ams 23:21). Teruna harus menolak teman yang minum untuk kemabukan, dan ibubapa yang berhikmah harus membantu mereka untuk berbuat demikian. Yesus dengan palsu dituduh menjadi seorang kaki wain, atau pemabuk (Mat 11:19; Luk 7:34), kerana Dia minum wain secara sederhana, berbeza daripada Yohanes Pembaptis, yang tidak minum apa-apa alkohol (Mar 14:25; Luk 1:15; Yoh 2:1-11).
Apakah itu orang yang rakus makan daging? Orang yang gelojoh makan terlalu banyak daging; seorang pelahap! Konteks menandakan melalui keselarian dua ayat bahawa si pelahap ialah pokok perbincangan (Ams 23:21). Teruna harus menolak apa pun teman yang makan dengan bebal atau dengan keterlampauan, dan ibubapa berhikmah akan membantu mereka menolak orang bebal demikian. Yesus dituduh dengan salah sebagai seorang pelahap (Mat 11:19; Luk 7:34), kerana Yesus makan makanan biasa yang Yohanes Pembaptis tidak makan (Mat 3:4).
Kemabukan dan kelahapan ialah dosa-dosa yang biasa di Amerika. Bilakah waktu terakhir yang telah kamu mendengar khutbah menentang kelahapan? Tidak pernah? Bagaimanakah mungkin kamu dapat dengar khutbah demikian daripada pastor yang berat badannya 135 kg dan isterinya pula yang berat badannya 135kg duduk bersama-sama koir? Jenis orang demikian kerap kali mengutuk wain dengan panjang lebar dan dengan lantang, sementara mereka makan satu lagi pai ceri dengan krim putar di atasnya lalu menurunkannya dengan 1 lagi liter minuman ringan yang penuh dengan gula. Ia lebih baik untuk membaca azam Jonathan Edwards, dan mencari mana-mana azamnya tentang menguasai pemakanannya, yang dia sendiri telah menulis kepada dirinyasementara masih budak remaja.
Persahabatan di sekolah kolej ada kebiasaan kenakalan parti makan dan minum – yang dipanggil sebagai kemabukan, kelebihan wain, pesta pora, merajalela, kerakusan, dan perjamuan di dalam Alkitab (Luk 21:34; Rom 13:13; 1Pet 4:3). Amerika sedang lemas di dalam kolam najis moral ketika institusi-institusi pengajian tingginya membenarkan atau menggalakkan kedua-dua jenayah itu, bercanggahan dengan Alkitab dan fikiran waras. Para penguasa di bumi yang mengenal Allah tidak bersangkut-paut dengan mereka.
Ia bukan makanan, dan ia bukan wain, yang menyebabkan dosa. Ia hal hati. Perhatikan semula bahawa Salomo membuka amaran ini tentang kemabukan dan kelahapan dan orang yang menyerahkan dosa-dosa ini dengan merujuk kepada hati anak lelakinya (Ams 23:19). Kamu harus bertekad dalam hatimu supaya tidak akan berdosa dengan cara-cara tersebut atau mengaitkan diri dengan orang yang berbuat demikian, sama seperti Daniel bertekad dalam hatinya untuk mengelak makanan yang mencemar daripada Nebukadnezar (Dan 1:8).
Wain tidak menyebabkan kemabukan seperti makanan tidak menyebabkan kelahapan. Kemabukan disebabkan hati manusia yang berdosa, dan bukan disebabkan wain. Kelahapan disebabkan hati berdosa, dan bukan disebabkan makanan. Allah telah menjadikan kedua-dua wain dan makanan, dan Dia menjadikan kedua-duanya baik ketika dipakai untuk tujuannya yang wajar dengan batasan-batasan yang diberi oleh Allah. Ia hati yang berdosa yang dengan memberontak memilih untuk terlebih minum wain sampai mabuk atau terlebih makan makanan sampai menjadi pelahap.
Suatu ciri akhlak teruna yang benar dan yang berhikmah ialah penguasaan diri, iaitu suatu tugas orang Kristian yang kurang difahami pada zaman kini dan yang juga kurang diamalkan. Itulah jalan mendisiplinkan diri sendiri, iaitu suatu peraturan kehidupan para olahragawan yang paling mantap dan sesuatu yang diperlukan untuk menyenangkan Allah (Kis 24:25; 1Kor 9:24-25; Gal 5:23; Tit 2:2; 2Pet 1:6). Ia tidak bermaksud pengelakan, seperti yang Gerakan “Temperance”[Kesederhanaan], yang mewajibkan pengelakan penuh alkohol dalam bentuk apa pun, cuba pasang makna yang salah kepada perkataan “temperance” itu.
Allah kudus; kehidupan adalah terkawal. Makanan adalah untuk tenaga; wain adalah untuk bersantai (Maz 104: 14-15; Pkh 10:16-17). Makanan bukan untuk bergelojoh; wain bukan untuk bermabuk-mabuk. Pertandingan minum dan makan ialah tanda-tanda orang bebal. Orang muda yang salih mengelak keterlampauan cabul yang demikian, tidak kira apa pun perolok-olokkan yang harus diharungi mereka, sebab mereka tahu bahawa Allah akan datang menghakimi dosa-dosa tersebut (1Pet 4:4-5). Mereka juga menolak mana-mana keramaian orang atau orang yang bersalah akan dosa-dosa ini untuk mengelak pengaruh mereka yang jahat. Para pemabuk dan pelahap, bersama-sama para peliwat, tidak akan masuk ke syurga (1Kor 6:9-11).