Amsal · Proverbs

28:9
Dia yang memalingkan telinganya daripada mendengar hukum, doanya pun akan menjadi kekejian.

Cara bagaimanakah kamu mendengar khutbah? Ini akan memberi kesan kepada hidupmu. Jika kamu mengabai atau menolak khutbah, Allah akan membenci dan menolak doa-doamu. Inilah suatu amaran yang serius untuk kejayaan masa depanmu. Jika Allah menentang segalanya yang kamu buat, termasuk doa-doamu, tiada apa usaha pun yang akan berhasil.

Di sinilah salah satu amsal yang paling penting. Ia merupakan pelajaran yang memberi kesan kepada setiap orang. Kesan-kesannya keras, dan penawarnya senang dan mudah sahaja. Kamu boleh menjadikan dirimu nyata di pandangan Allah untuk berkatNya dengan lebih cepat di sini daripada kebanyakan tempat yang lain.

Adakah kamu menghadiri setiap kebaktian gereja yang dapat dihadiri? Adakah kamu berdoa dan bersiap sebelum sampai? Adakah kamu tetap menumpukan perhatian dan menyerap sebanyak semungkin? Adakah kamu mengulangkaji apa yang telah didengar? Adakah kamu merenung-renung subjek itu? Adakah kamu menyelidiki diri sendiri bagi perubahan yang dituntut pelajaran itu?

Orang Berea merupakan orang yang mulia kerana menerima khutbah Paulus dengan minda yang sungguh siap dan mengkaji semula apa yang telah didengar mereka (Kis 17:11), tetapi orang Yahudi dari Yerusalem menyumbat telinga mereka dan menolak Stefanus (Kis 7:51-60). Golongan mana satu dirimu di antara dua golongan orang ini?

Adakah kamu menghadiri gereja sebagai suatu tabiat hari Ahad? Adakah kamu mengelakkannya bilamana kamu suka? Adakah kamu menonton televisyen pada malam hari Sabtu daripada menyiapkan diri dan keluargamu? Adakah kamu mengantuk di dalam khutbah? Adakah kamu membiarkan fikiranmu itu melayang? Adakah kamu membaca Alkitabmu atau buku lain selain daripada mendengar khutbah?

Allah menyatakan diriNya dan kehendakNya melalui khutbah (Mal 2:7; 1Kor 1:21). Dia memilih hamba-hambaNya, memberi kemampuan kepada mereka untuk mengajar, menginsafkan dan memimpin fikiran mereka, dan memberi mereka isi untuk mengajar – baik secara penglihatan mahupun oleh RohNya dan Alkitab pada hari ini (2Tim 3:16-17; 4:2).

Pengkhutbah-pengkhutbah ialah duta-duta Allah (2Kor 5:20). Allah mengutus mereka dengan pesananNya bagi keuntunganmu, jika kamu dengar dan taat. Jika kamu mengabaikan duta Allah dan pesananNya yang disampaikannya, maka kamu bersalah kepada Allah sendiri, dan kamu akan menghadapi kesannya (Kel 16:8; Maz 105:14-15; 1Sam 8:7).

Apa lagi yang dapat disebutNya untuk mendapat perhatianmu? Jika kamu mengabaikan kata-kataNya di dalam khutbah, maka Dia akan menolak kata-kata doamu (Ams 1:24-30). Hal ini penting, sebab kamu memerlukan hikmah melalui khutbah untuk kejayaanmu, dan kamu memerlukanNya untuk mendengar doa-doamu.

Allah mempunyai pengkhutbah-pengkhutbah di dalam Wasiat Lama yang telah mengajar rakyat dengan arahan-arahan lisan (2Taw 17:8-9; Ezra 7:10; Neh 8:1-12; Yun 3:1-2; Mal 2:7). Raja Salomo, penulis amsal-amsal ini dipanggil sebagai Pengkhutbah (Peng 1:1-2,12; 7:27; 12:8-10). Dan ada pengkhutbah-pengkhutbah pada hari ini di dalam Wasiat Baru (Rom 10:14; 1Tim 2:7; 2Tim 4:2).

Tuhan telah memberi amaran bahawa Dia akan menolak doa-doa orang yang tidak ingin mendengar dengan sikap suka menunduk. Lebih-lebih lagi, Dia akan menganggap doa-doa mereka sebagai kekejian! Di sinilah suatu amaran tentang perangaimu terhadap pemberitaan firman Allah. Dia menjelaskan kepada orang Yahudi yang terkumpul semula bahawa itulah sebabnya mereka dihukum teruk oleh orang Babel (Zak 7:7-14).

Bayangkan doamu menjadi kekejian bagi Allah! Sementara kamu merayu kepadaNya untuk berkat dan kemurahanNya di dalam hidupmu, Dia amat-amat memandang hina, membenci, dan meluat usaha-usaha dan kata-katamu. Doa-doa kamu itu menjadikanNya ingin muntah. Sudah teruk jika doa-doamu itu dihalang kerana mengabaikan isterimu (Mal 2:13-14; 1Pet 3:7), tetapi ini jauh lebih teruk apabila Allah membenci doa-doamu.

Bagaimanakah orang Berea mulia? Pertimbangkan Kisah Para Rasul 17:11 dengan teliti. Pertama, mereka mendengar Paulus dengan fikiran yang sangat terbuka. Mereka tidak mendengar dengan mencemuh iaitu menaikkan pendapat mereka, bantahan mereka atau soalan-soalan yang bebal untuk menentang khutbahnya. Mereka ingin mendengar; mereka ingin percaya; mereka menganggap Paulus sebagai betul; mereka bersyukur kerana ada seorang hamba Allah untuk mengisytiharkan kebenaran kepada mereka. Fikiran mereka tidak melayang atau meragu-ragukan Paulus.

Kedua, mereka mencari-cari Alkitab hari demi hari untuk mengesahkan kata-katanya. Mereka tidak memperolok-olokkan kelebihan pengetahuan Paulus dengan memakai rujukan kamus konkordans mereka lima minit lamanya itu. Sesetengah orang ingat bahawa mereka tidak perlu mempedulikan kajian berjam-jam seseorang pengkhutbah di dalam sesuatu perkara dan sepanjang hayatnya di dalam firman Allah kerana sendiri ada beberapa minit pembacaan pada hari cuti. Begitulah cara pemikiran dan sifat soalan-soalan yang bebal dan yang tidak terpelajar. Soalan-soalan inilah yang hamba-hamba salih tidak mengendahkan (2Tim 2:23; Tit 3:9).

Keangkuhan manusia itu sungguh buruk, dan satu khutbah yang menentang dosa kamu akan mendedahkannya. Tetapi pastor-pastor memerangi pendapat-pendapat (2Kor 10:3-6). Pastor telah mempelajari sesuatu subjek 100 kali lebih banyak daripada dirimu; dia sedang berkhutbah kepada berbagai-bagai keperluan banyak orang; dia ada amanat ilahi untuk melekat kepada kebenaran Alkitab sahaja tanpa apa-apa ketakutan kepada manusia (Yer 1:17); dia tidak mengkhutbahkan agenda dia sendiri; dia hanya mengulangi arahan daripada Raja segala raja. Ingatlah hal-hal itu.

Paulus, sementara mengenal kecenderunganmu untuk menolak khutbah-khutbah sebegini, telah memberi amaran di dalam 1 Tesalonika 5:20, “Janganlah memandang hina nubuat-nubuat.” Allah telah memberi amaran di dalam kedua-dua wasiat supaya mendengar dengan penuh perhatian dan dengan penuh sikap suka menunduk. Tuhan Yesus Kristus mengakhiri perumpamaan penabur dengan berkata, “Maka, ambillah perhatian bagaimana kamu mendengar” (Luk 8:18). PenghakimanNya sungguh keras – Dia akan mengambil balik daripada sesiapa pendengar degil apa pun pengetahuan sedikit yang dia anggap dimilikinya.

Kornelius menjadi salah satu contoh yang paling baik akan pendengar yang terbuka mendengar, apabila dia menghimpunkan keluarganya dan kawan-kawannya untuk mendengar “segala hal yang telah diperintahkan kepadamu oleh Allah” (Kis 10:33). Dan Israel menganjurkan suatu perayaan yang besar kerana dapat memahami khutbah yang menunjuk perintah-perintah yang telah lama diabaikan mereka (Neh 8:1-18). Orang Tesalonika mendengar khutbah Alkitabiah Paulus sepertimana setiap khutbah harus didengarkan – seakan-akan kata-kata itu ialah kata-kata Allah sendiri (1Tes 2:13).

Mana-mana satu khutbah pun tidak sempurna seperti yang akan diberitahumu mana-mana pengkhutbah yang jujur. Memang ada kesilapan kecil yang dapat dikritikmu, dan pastor-pastor yang berhemat akan berasa terseksa kerana itu; pendengar-pendengar yang menumpukan perhatian kepada kesilapan kecil itu ialah pencemuh yang jahat (Yes 29:20-21). Petrus berkhutbah seperti seorang nelayan yang tidak terpelajar kepada orang Yahudi yang pencemuh, tetapi dia memiliki kata-kata hikmah keselamatan daripada Yesus Kristus (Kis 4:12-13).

Allah akan mempertahankan pengkhutbah-pengkhutbahNya, seperti yang telah dipelajari empat puluh dua kanak-kanak yang biadap itu (2Raja 2:23-25). Korah dan rakan-rakannya serik akan kebiadapan mereka terhadap Musa dan khutbahnya (Bil 16:1-33). Allah tidak menghargai orang yang tidak peduli atau menolak pesan-pesan duta-dutaNya (Ula 1:41-44). Paulus memandang hina orang sebegitu (1Kor 14:36-38), dan dia tidak membenarkan perselisihan, malah akan hal yang dianggap remeh pun seperti hal panjangnya rambut (1Kor 11:16).

Bukan semua pengkhutbah merupakan orang utusan Allah. Kebanyakan pastor tidak mengkhutbahkan firman Allah, seperti yang telah dinyatakan Alkitab (Amo 8:11-12). Kebanyakan orang Kristian mengingini dongeng melebihi kebenaran (2Tim 4:3-4), maka mereka mencari-cari pengkhutbah yang keperempuanan yang memangsakan perempuan yang mudah terpengaruh (2Tim 3:6-7) dengan agama Kristian palsu mereka (2Tim 3:1-5). Penawar itu mudah sahaja – khutbahkan firman (2Tim 4:2).

Ia sangat susah pada hari ini untuk mencari sidang gereja yang firman Allah diisytiharkan dengan jujur, tetapi kamu harus terus mencari, sebab menjadi puas hati dengan pengkhutbah seperti Joel Osteen atau Benny Hinn adalah satu lagi cara untuk melanggar amsal ini. Kamu tidak boleh menurut amaran Salomo ini dengan mendengar orang semata-mata berborak, berlawak jenaka, bercerita, berlagak mendapat penglihatan, senyum dengan manis sekali, atau memakai baju sut putih.

Tolaklah pelayanan kultus personaliti, lakonan mukjizat, perniagaan besar, atau penglibatan isteri. Sukatlah pengkhutbah-pengkhutbah melalui penghasilan buah mereka (Mat 7:15-20). Apakah kesan atau hasil pelayanannya? Adakah ia menyalurkan jiwa-jiwa untuk mentaati firman Allah? Dan biarlah sukatan kamu itu berdasarkan Alkitab (Maz 119:98-100, 128; Yes 8:20; Rom 16:17-18; Gal 1:16-17; 1Tim 6:3-5).

Menemui seorang pengkhutbah yang benar ialah suatu berkat daripada Allah, seperti Elihu memberitahu Ayub (Ayub 33:23-26). Ia merupakan jalan yang ditahbiskan Allah untuk kamu mengenal kehendakNya, dan di mana tiada pengkhutbah, di situlah umat binasa (Ams 29:18; 1Sam 3:1; 2Taw 15:3). Oleh sebab itulah Allah menyatakan bahawa pengkhutbah-pengkhutbah ada kaki yang indah (Yes 52:7; Rom 10:15). Jangan mengabaikan berkat mendengar firman Allah.

Amaran amsal ini keras, sepertimana ia patut keras, sebab pemberontakan terhadap firman Allah adalah seperti sihir, dan kedegilan itu seperti penyembahan berhala (1Sam 15:22-23). Jika Tuhan syurgawi mendapati kamu melindungi sesuatu patung di dalam hatimu dan mendapati kamu menolak pesananNya, maka Dia akan menyampaikan kepadamu khayalan-khayalan dusta, sepertimana dilakukanNya terhadap Ahab (Yeh 14:1-11; 1Raj 22:8; 2Tes 2:9-12).

Pertimbangkan nasihat yang diberi Eli kepada Samuel apabila Tuhan memanggilkannya pada waktu malam. Eli memberitahu Samuel untuk menjawab, “Berbicaralah, Tuhan; sebab hambamu ini mendengar” (1Sam 3:9). Itulah perangai salih dan rendah hati yang akan diberkati. Dia yang ada telinga untuk mendengar; biarlah dia mendengar. Dan biarlah doa-doanya naik sebagai suatu bau yang harum di dalam hidung Allah yang mulia di syurga. Amin.