16:5
Setiap orang yang angkuh dalam hatinya ialah kekejian kepada TUHAN: walaupun bergandingan tangan, orang itu tidak akan terlepas hukuman.
Adakah kamu fikir dirimu istimewa? Maka bertaubatlah sekarang sebelum kamu dipedihkan! TUHAN Jehovah tidak dapat tahan sesiapa pun yang menyanjungi diri dalam fikirannya. Betapa pentingnya dirimu, atau berapa banyak kawan yang kamu ada tidak akan diambil kira. Kamu akan pasti dihukum; Allah di syurga akan memastikannya. Rendahkanlah hatimu pada saat ini juga.
Kamu kosong (Maz 39:5,11). Kamu memang kurang daripada kosong (Maz 62:9; Yes 40:17). Kamu memasuki bumi dalam keadaan jahil dan kebergantungan, dengan mengotori diri dengan cirit, dan kamu akan meninggal dalam keadaan yang sama. Jika kamu sungguh berjaya, kamu mungkin meninggalkan suatu harta pusaka yang dapat dibelanjakan dalam beberapa bulan. Pada hari kematianmu, kamu akan dilupakan dalam beberapa minggu sahaja, dan tapak kuburmu akan kehilangan.
Pencapaianmu tidak penting, dan ia akan dilupakan sebelum pengebumianmu, ketika kamu tidak dapat mengingat namamu sendiri. Kamu sebegitu halus dan lemah sehingga suatu penyepit kain pada hidungmu pun dapat menamatkan kewujudanmu (Yes 2:22). Jiwamu hidup dalam bejana tanah liat; dasar tubuhmu hanya debu semata-mata; dan kamu dapat dibunuh dengan lebih mudah daripada suatu ngegat (Ayb 4:19). Rendahkanlah hatimu!
Allah yang diberkati dan yang dahsyat di syurga dan bumi memandang keji dan mual terhadap orang yang angkuh (Maz 113:5-6). Dia terlampau rasa jijik dan teramat tidak menyukai keangkuhan mereka dan pendapat-pendapat mereka yang bongkak. Dia membenci mereka dan fikiran dan wajah mereka yang angkuh (Ams 6:16-19; 15:9). Dan Dia akan meremukkan dan mengisarkan mereka sehingga menjadi serbuk di bumi ini dan di akhirat nanti (Ayb 40:9-14; Dan 4:37).
Kata-kata, “angkuh dalam hati”, ialah dosa spesifik yang Allah benci. Ia merupakan pendapat tinggi tentang diri sendiri, yang membawa kepada suatu sikap yang menganggap diri melebihi orang lain dan memandang rendah orang lain; ia merupakan harga diri yang melampau. Bercakap besar bukanlah cerita di sini. Kamu mungkin dapat menyembunyikan keangkuhanmu tetapi Allah melihat itu, dan Dia akan menghakimi itu. Kamu harus berfikir tentang diri sendiri sebagai lebih rendah dan dengan lebih serius, supaya jangan kamu berbohong kepada dirimu sendiri tentang nilaimu (Ams 16:18-19; Rom 12:3; Gal 6:3; Flp 2:3-4; 2Tim 3:1-5).
Pertimbangkan dosa yang teruk ini! Kamu dapat mengelak apa yang menyebabkan nafsu mata (Maz 101:3). Kamu dapat menolak peluang-peluang bagi nafsu daging (Rom 13:14). Tetapi bagaimana dengan keangkuhan? Ia membisik kepada hatimu setiap minit setiap hari dan setiap malam! Ketika berbaring di atas katilmu pun fikiranmu boleh jadi angkuh dan kritikal – membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Dalam setiap tindakan dan peristiwa kehidupan, ada godaan yang kerap untuk keangkuhan menjalar masuk. Tuhan, tolong berbelas kasihan!
Kata-kata “walaupun bergandingan tangan”, menjelaskan tentang suatu persetujuan dan pengaitan diri sendiri dengan orang lain untuk keselamatan. Ia tidak penting jika orang lain mengampumu atau mereka ada sikap angkuh yang sama denganmu. Ia tidak penting apa pun langkah-langkah yang dipakai untuk melindungi dirimu. Ia tidak penting bahawa kamu cuba menjadi benar dalam hal-hal yang lain. Kamu tidak dapat menutupi dosa ini. Allah akan menjatuhkanmu – lekas dan keras – dengan pasti!
Dosa yang pertama di alam semesta ialah keangkuhan – keangkuhan Syaitan (1Tim 3:6). Dan dia dihukum untuk itu. Berapa teruknya hukuman itu? Dia dan para malaikatnya disimpan untuk seksaan abadi di neraka selama-lamanya (Mat 25:41; 2Pet 2:4; Wah 20:10). Keupayaan iblis yang besar langsung tidak dapat menyelamatkannya.
Adakah kamu angkuh dalam hati? Cuba mengesannya! Adakah kamu harap dilayani dengan lebih baik? Mengapa? Ia tentu kerana kamu fikir dirimu lebih penting. Adakah kamu khuatir bagaimana orang lain mengagumimu? Adakah kamu menahan pembetulan dan arahan? Adakah kamu beriri hati dan membenci berkat yang orang lain terima? Dapatkah kamu menyenaraikan apa pun cara yang kamu lebih baik daripada orang lain? Adakah kamu bermegah sedikit kerana mereka gagal?
Adakah sikap mementingkan diri sendiri menjadikan pelayanan kepada orang lain sukar? Adakah kamu mempertahankan diri sendiri ketika ditegur dan diberi amaran? Adakah kamu rasa layak untuk lebih diperakui orang ramai? Dapatkah kamu meminta maaf dengan mudah, dengan sepenuhnya, dan dengan lekas? Adakah kamu merungut tentang keadaan-keadaan yang tidak adil? Adakah ia pasanganmu yang harus meminta maaf dahulu? Dapatkah kamu ingat kegagalan orang lain? Adakah kamu suka berbahas tentang “prinsip”? Kamu mungkin fikir perzinaan, kemabukan, dan merokok sungguh teruk, tetapi Allah lagi membenci keangkuhanmu yang menganggap diri sendiri benar!
Jika kamu kekal demikian, habislah kamu! Alkitab adalah pasti: keangkuhan membawa padahnya! “Keangkuhan mendahului kebinasaan, dan roh yang sombong sebelum kejatuhan” (Ams 16:18). “Apa yang mendahului kebinasaan ialah hati manusia yang bongkak, dan apa yang mendahului kehormatan ialah kerendahan hati” (Ams 18:12). “ Tentulah dia mencemuh para pencemuh: tetapi dia memberi rahmat kepada yang rendah hati” (Ams 3:34). “Barangsiapa yang menyanjungi diri akan direndahkan” (Luk 14:11). “Allah menentang yang angkuh” (Yak 4:6).
Jika kamu ada masalah keangkuhan, dan Allah akan pasti menghukummu, apa yang dapat dibuat? Bertaubat! Takut akan Tuhan, dan bencilah kesombongan dan keangkuhan (Ams 8:13)! “Rendahkanlah diri kalian di hadapan Tuhan, dan dia akan meninggikan kalian” (Yak 4:10). “Maka, rendahkanlah diri kalian di bawah tangan kuat Allah, supaya dia dapat menyanjungi kalian pada waktunya” (1Pet 5:6).
Manasye mungkin raja yang paling durjana dalam sejarah Israel, tetapi Allah dengan percuma mengampuninya, ketika dia merendahkan diri dengan sungguh rendah (2Taw 33:1-13). Dan jika dia raja yang paling durjana, maka Ahab ialah yang kedua; tetapi Allah memberkati kerendahan hati Ahab juga (1Raj 21:25-29). Apa yang diwajibkan Allah? Jalani hidupmu dengan rendah hati bersama Allahmu (Mik 6:8).
Mahu bunuh keangkuhan? Akuilah dosa-dosamu dengan sepenuhnya (Yak 4:5-10). Dapatkanlah penglihatan akan Allah dan remukkanlah hatimu di hadapanNya (Maz 4:4; Yes 57:15). Berdoa dengan menganggap diri sendiri orang yang bebal (1Raj 3:7; Maz 131:2). Jangan sesekali pun memuji diri sendiri, dan jangan secara tidak langsung juga (Ams 27:2). Selalu akui bahawa apa yang ada pada dirimu dan apa keadaan dirimu ialah suatu anugerah (1Kor 4:7). Akuilah kesalahan-kesalahanmu, supaya orang lain akan mengenal dirimu yang sebenarnya (Rom 7:8; Yak 5:16).
Minta maaf dengan lekas dan akuilah kesalahanmu (Mat 5:23-24). Berterima kasih kepada orang yang menegur dan yang memperbetulkanmu (Maz 141:5). Pentingkan orang lain dan pentingkan hal-hal mereka (Flp 2:3-4). Rendahkanlah dirimu dan nikmatilah orang yang tidak sebegitu terpandang (Rom 12:16). Jangan membandingkan diri sendiri dengan orang lain (2Kor 10:12). Belajar belas ihsan yang sejati (1Kor 13:4-7). Jadilah hamba yang hebat (Luk 22:24-27).
Masih ingin membunuh keangkuhan? Elakkanlah tempat lampu sorot atau tumpuan perhatian orang ramai sebanyak semungkin (Luk 14:7-12). Bersuka untuk melayani orang yang tidak dapat bayarmu semula (Luk 14:12-14). Buat kebajikanmu dengan rahsia (Mat 6:1-4). Bersuka dalam hal mengampuni orang yang bersalah kepadamu (Mat 18:21-22). Rendahkanlah diri, dan bersuka dalamnya! TUHAN akan senang hati, dan Dia akan memberkatimu, sepasti Dia akan menghukum orang yang angkuh.