Amsal · Proverbs

22:11
Dia yang mengasihi kesucian hati, oleh sebab bibirnya yang santun akan memperoleh raja sebagai sahabatnya.

Inilah salah satu daripada amsal Salomo yang paling unggul. Di sinilah hikmah bagi kejayaanmu – nasihat berilham untuk meninggikan darjatmu sampai ke puncak yang paling tinggi. Dalam hanya beberapa perkataan, Allah syurgawi memberi garis panduan bagaimana beberapa orang yang istimewa bangkit mengatasi yang sederhana untuk menjadi hebat. Allah dan Salomo mahu kamu makmur.

Inilah hikmah yang berharga! Seseorang dengan hati yang suci ada ucapan yang bersopan santun sehingga orang besar-besar memilihnya untuk dijadikan sahabat. Ia bermula dengan hati yang suci – iaitu bebas daripada kepahitan, iri hati, tipu muslihat, kemunafikan, niat jahat, keangkuhan, atau sikap mementingkan diri sendiri. Hati yang sedemikian memakai perkataan yang berbudi bahasa – kata-kata yang mudah diterima, mudah dipersetujui orang, beradab, mudah mengampuni, lembut, berbudi, berbelas kasihan, dan menyenangkan. Gabungan ini begitu menyukakan dan jarang sehingga orang mulia dengan serta-merta dan dengan mendalam tertarik kepadanya.

Kesantunan ialah sesuatu ciri akhlak yang paling mencantikkan. Seseorang yang berbudi bahasa kerap kali disebut sebagai seorang yang cantik dan menarik. Baik lelaki mahupun perempuan, kesantunan menjadikan seseorang disukai, menyenangkan dan memenangkan. Sungguh jarang dan menyenangkan untuk bertemu dengan seseorang sedemikian. Dan ciri akhlak ini paling jelas ternyata di dalam pertuturan yang cemerlang. Cuma sedikit yang dapat ditemui kamudalam kehidupan ini; mereka ada reputasi yang sugngguh besar; mereka menyukakan jiwa; dan kamu akan mendambakan mereka sebagai teman.

Jika kamu ingin maju, bertumbuh dan makmur dalam kerjayamu dan dalam segala perhubunganmu, maka kamu harus menghafal amsal ini dan amalkannya setiap hari. Mengasihi hati yang suci adalah sesuatu yang kamu buat setiap saat berjaga; ucapan yang berbudi bahasa ialah perbuatan menjaga setiap perkataan apabila berucap. Kamu harus merebut hikmah yang sungguh bernilai ini yang ditawarkan kepadamu dalam amsal ini. Dan kalau dengan konsisten mengamalkan dua peraturan yang mudah ini, kamu pasti akan menuai ganjaran yang dijanjikannya.

Bagaimanakah Yusuf yang hanya berumur tiga puluh tahun dapat naik ke pangkat tangan kanan kekuasaan di Mesir, walaupun dia bukan seorang Mesir dan pernah dipenjarakan bagi kesalahan berniat merogol? Dia telah melakukannya dengan niat-niat yang suci dan ucapan yang berhikmah, tak kira dihadapan sesiapapun atau keadaan apapun (Kej 41:37-45). Firaun mengasihinya dan memberikannya kemuliaan, ganjaran, dan kelebihan. Amsal ini benar.

Bagaimanakah Daniel yang berumur sekitar dua puluh tahun memenangi perkenan mesra salahseorang raja yang paling hebat dan yang paling keras, iaitu Nebukadnezar orang Kasdim itu? Dia menuruti rancangan yang sama dengan Yusuf akan niat suci dan pertuturan yang berbudi bahasa (Dan 1:18-20; 6:3). Dia dimuliakan oleh Nebukadnezar, keturunan Nebukadnezar, dan pengganti-pengganti Nebukadnezar iaitu Darius dan Cyrus [Kores] orang-orang Parsidan ini merangkumi tempoh melebihi 70 tahun.

Pertimbangkan bahawa Salomo, seorang raja, telah mengaku kelemahan bagi orang yang berbudi bahasa. Dia telah mendengar tentang persahabatan antara ayahnya, Daud, dengan Putera Yonatan, sesudah pertuturan santun Daud memenangi hati Yonatan dalam beberapa saat sahaja (1Sam 17:57-18:4). Walaupun Daud seorang gembala yang tidak terpandang dan juga suatu ancaman kepada takhta masa depannya, Yonatan masih mengasihinya seperti jiwanya sendiri. Mengapa? Sebab hati Daud bebas daripada apapun cita-cita, tipu muslihat, keangkuhan, atau sikap mementingkan diri sendiri.

Raja-raja musuh, askar upahan, dan raja-raja asing mengasihi Daud. Saul di dalam keadaan siuman mengasihi Daud (1Sam 16:21; 24:16-19; 26:17,21-25). Apabila Daud terpaksa hidup di kampung Goliat, Akhis, raja orang Gat itu, telah mengasihi Daud (1Sam 28:1-2; 29:3,6,9). Itai, orang kuat itu, memimpin 600 askar Gat untuk membelot supaya mengikut Daud sepanjang hayatnya (2Sam 15:21). Hiram, raja Tirus, iaitu salah satu bangsa yang paling kaya, selalu mengasihi Daud (1Raj 5:1).

Herod Antipas menghargai dan meredai Yohanes Pembaptis, walaupun Yohanes menegur kesalahan-kesalahannya. Walaubagaimanapun, isteri penzina dia itu akhirnya dapat memuaskan hajatnya untuk membunuh Yohanes (Mar 6:16-20). Paulus juga mendapat perkenan daripada gabenor-gabenor Rom, panglima Rom, ketua tentera Rom, dan raja-raja melalui penyelesaian yang dipakai oleh Yusuf, Daud, dan Daniel (KPR 26:28-32; 28:16,30). Amsal ini benar.

Bersopan-santun selalu! Sudahkah kamu menanggap kuasa peraturan ini daripada mulut Allah dan pena Salomo? Nampakkah kamu contoh-contoh Alkitab bagi kegenapannya dalam kisah orang-orang yang paling berkuasa di bumi? Jagalah hatimu dengan segala ketekunan, sebab ucapanmu dan perilakumu itu berasal daripada mata air dan sumber ini (Ams 4:23). Biarlah ucapanmu selalu berbudi bahasa, membina dan mendorong orang di sekelilingmu (Kol 4:5-6; 1Kor 10:31-33). Kemuliaan sedang menjelang.

Bencilah kerewelan selalu! Janganlah membiarkan kata-kata kritikal, keras atau negatif keluar daripada mulutmu secara bebal. Janganlah selalu menuntut, kasar, angkuh, atau keras kecuali di dalam situasi yang jarang ketika ia diperlukan. Bagaimanakah kamu dapat menghentikan ucapan menyinggung dan bahasa gerak-geri yang merugikan dirimu daripada keredaan dan kemuliaan dengan lelaki dan perempuan? Hanya fikir akan fikiran suci tentang semua orang di dalam hatimu.

Salomo telah menyatakan bahawa seorang wanita yang berbudi bahasa selalu dihormati (Ams 11:16). Jika seseorang perempuan kekurangan kawan dan tidak disukai secara am, maka dia memerlukan budi bahasa. Sikap jelek (iaitu bertentangan dengan kesantunan) dia yang menyinggung orang lain (Ams 30:23). Seseorang perempuan yang berbudi baik berucap dengan cukup berhati-hati dan cukup bijaksana, dan itu juga hanya secara lemah-lembut (Ams 31:26). Dia hanya mengucapkan hal-hal yang dapat diterima, dan dia hanya menyatakannya pada masa yang dapat diterima. Roh yang suka menurut dan yang tenteram di dalam perempuan yang baik, yang Allah dan manusia kagumi, ialah sebahagian besar kesantunan (1Pet 3:3-4).

Seorang perempuan yang tidak disukai ramai haruslah meneliti diri sendiri melalui telinga orang lain. Dua perkara yang dapat dilakukannya adalah untuk menolak segala fikiran yang kritikal dan negatif dan kurangkan setengah kata-katanya. Seorang perempuan yang cantik yang tidak memiliki budi bicara untuk mengenal apa untuk disebut dan bila untuk menyebutkannya adalah seperti barang kemas emas pada jongor babi (Ams 11:22). Kata-katanya dan perangainya tetap memperingatkanmu akan babi berbulu lebat yang memakai emas itu. Apabila seseorang perempuan yang sederhana atau perempuan yang hodoh tidak mempunyai budi bicara yang baik, perkataan pun gagal untuk menjelaskan kehodohan makhluk ini.

Salomo juga telah mengajar bahawa lelaki berhikmah bertutur dengan berbudi bahasa, tetapi orang bebal membinasakan diri sendiri dengan kata-kata mereka sendiri (Pkh 10:12). Sementara dia memakai kata sifat “jelek” berkenaan perempuan, dia memakai kata sifat “rewel” berkenaan lelaki. Seseorang lelaki yang rewel merupakan orang yang susah untuk berurusan dengannya, kasar, menimbulkan rasa meluat, degil, dan tidak munasabah; dia bertentangan dengan budi bahasa. Raja-raja bersuka dalam pertuturan orang benar (Ams 16:13), sebab mereka ingin penasihat-penasihat dan duta-duta yang memberi nasihat dan mewakili mereka dengan baik. Salomo menyanjung tinggi kata-kata yang menyenangkan (Ams 10:20,32; 12:18; 15:23; 16:21,24; 24:26; 25:11).

Yesus Kristus ialah teladan yang terulung bagi kesantunan. Daud bernubuat akan bibirNya yang santun (Maz 45:2). Apabila Dia pertama kali berucap di Nazaret, kampungNya sendiri, orang yang curiga terhadapnya pun sungguh kagum dengan ucapannya yang kesantunan(Luk 4:22). Musuh-musuhNya pun kena mengaku bahawa tiada orang yang pernah berucap seperti Dia (Yoh 7:46). Alkitab penuh dengan kata-kataNya yang santun, yang berasal daripada hati yang paling suci (Yoh 4:6-30; 8:10-11; 9:37; 11:25-26; 18:1-26; 20:16; 21:1-14).

Kesantunan itu bermula daripada hati yang suci. Kepahitan, iri hati, atau persengketaan di dalam hati adalah daripada neraka, dan memimpin kepada pelbagai kekeliruan dan kejahatan (Yak 3:14-16). Pertuturan seseorang mencerminkan hatinya sendiri (Luk 6:45), maka kamu harus menjaga hatimu dengan segala ketekunan (Ams 4:23). Jika hatimu girang, berpuas hati, mudah mengampuni, murah hati, dan bersyukur, kamu akan memikirkan fikiran yang santun. Kamu harus menolak semua fikiran berdosa akan kepahitan, iri hati, curiga, berniat jahat, atau berbalas dendam.

Hati yang suci menghasilkan pertuturan yang santun. Paulus telah berkata, “Biarlah ucapanmu itu selalu santun” (Kol 4:6). Dia telah memberitahu orang Efesus untuk mengelakkan semua ucapan yang tercemar dan tumpukan perhatian kepada kata-kata yang dapat membina orang lain; dia berkata bahawa suatu roh yang lemah-lembut berasaskan kebudian dan pengampunan adalah betul, tetapi kepahitan, marah, niat jahat, dan ucapan jahat adalah salah (Efe 4:29-32). Jika fikiranmu berbudi akan orang lain, maka kuasailah rohmu, dan jagalah lidahmu, supaya kamu akan kesantunan.

Hai para pembaca, berpeganglah kepada hikmah. Amsal ini emas yang tulen. Jika kamu harap untuk bertumbuh dalam keredaan dengan Allah dan manusia, tiada jalan yang lebih baik daripada kesantunan. Dengan bermula di hatimu dan fikiranmu tentang orang lain, kamu akan mempunyai mata air dalaman untuk kata-kata yang santun. Tempat yang paling baik untuk berlatih adalah di rumah dengan pasanganmu, ibubapa, anak-anak, adik beradik iaitu tempat yang kamu secara am adalah paling kurang santun. Dengan berkat Allah, raja tidak lama lagi akan berkawan denganmu.

Apa lagi yang dapat dilakukanmu? Dengar lebih; kurangkan percakapan (Ams 17:27). Sanjungilah orang lain (Flp 2:3-4). Belajarlah untuk menghidupi belas ihsan (1Kor 13:4-7). Elakkan kebebalan (Peng 10:1). Bencilah gurau senda (Efe 5:4). Bergiranglah (Ams 15:13,15). Berpuas hati (Ibr 13:5-6). Sanjungilah sikap belas kasihan (Yak 2:13). Timbulkanlah simpati yang mengasihani (1Pet 3:8). Singkirkan angin yang tidak baik (Ams 16:32). Langkaui kesilapan orang lain (Ams 19:11). Berdamailah (Yak 3:17-18). Hanya ucapkan apa yang boleh diterima oleh orang lain (Ams 10:32). Pujilah orang lain (Ams 12:25). Bencilah sikap suka perhatian orang ramai (Bil 12:3). Bencilah sikap iri hati (Ams 14:30). Janganlah menjadi penyibuk (1Pet 4:15).

Dan berdoalah untuk itu! Daud mempunyai hati yang suci sebab dia telah mohon kepada Tuhan untuk meneliti dan menyempurnakan hatinya (Maz 139:23-24). Doakan supaya diisi lebih dengan Roh Allah dalam kehidupanmu, supaya kamu dapat menghasilkan buah Roh yang santun itu (Gal 5:22-23). Mana-mana lelaki atau perempuan yang menghasilkan kasih, sukacita, damai sejahtera, sabar derita, kelemah-lembutan, kebaikan, iman, suka menurut, dan penguasaan diri akan menjadi santun. Dia akan berbudi bahasa luar biasa. Dia menjadi ciptaan baru.

Jangan peduli akan apa yang kamu fikir tentang diri sendiri. Kesantunan ialah pandangan orang lain terhadap dirimu – pandangan Allah dan pandangan orang baik. Kebanyakan orang yang jelek ingat diri sendiri santun, dan kebanyakan orang santun ingat diri sendiri jelek. Semangat angkuh atau semangat rendah hati inilah yang menjadikan seseorang jelek atau santun. Rendahkanlah dirimu di hadapan firman Allah. Tolaklah sikap angkuhmu. Orang lain pasti tidak merindui kata-kata dan perangai kasar dan jelek kamu itu. Jika kamu kekurangan kawan, terutamanya lelaki dan perempuan mulia yang mendambakan kehadiranmu, kamu besar kemungkinan seorang yang jelek.

Hai ibubapa, ajarlah anak-anakmu supaya bersantun. Daripada menghanguskan nyawamu dan akal budi mereka dengan sistem pendidikan zaman kini, usahakanlah sebaliknya untuk menggiatkan ciri akhlak ini yang menyenangkan Allah dan manusia. Ia akan lebih memajukan masa depan mereka daripada menghafal sifir. Dapatkah kamu menjelaskan kesantunan? Bolehkah anak-anakmu menjelaskannya? Dapatkah kamu menunjukkan sikap ini hari demi hari di dalam perhubungan antara adik beradik mereka? Dapatkah kamu memakaikannya di dalam pelbagai situasi dengan orang yang kamu temui setiap hari? Belajarlah firman. Renungilah firman. Hidupilah firman. Tuntutilah firman.

Jika orang Kristian lebih bersantun di dalam pertuturan mereka, maka orang lain akan menjadi tertarik kepada agama mereka. Sementara Pengasas dan Guru agama Kristian, iaitu Tuhan Yesus Kristus, ada hati suci yang sempurna dan pertuturan yang santun, ia memang memalukan apabila orang yang kononnya pengikutNya tidak mempunyai kedua-dua ciri itu.Muliakanlah Juruselamat kamu dan pertahankanlah agamaNya dengan hati yang suci dan tutur kata yang santun. Raja segala raja akan menjadi sahabatmu dan menyanjungi kamu tinggi-tinggi.