Amsal · Proverbs

27:9
Salap dan minyak wangi menyukakan hati: begitulah juga kemanisan seorang kawan dengan kesungguhan nasihatnya.

Bau wangi minyak kelonyor atau minyak wangi boleh membawa kenikmatan yang mendalam bagi jiwamu melalui saraf olfaktori (Ams 7:17; Maz 45:7-8; Kid 1:3; 3:6; 4:10). Bau ialah deria yang sungguh berkuasa. Kesannya adalah serta-merta dan kuat. Dengan cara yang sama, seorang kawan yang baik dan yang jujur boleh mengangkat rohmu dan menyebabkan kenikmatan besar dengan nasihat yang tulus dan yang menguntungkan. Inilah satu pemerhatian Salomo. Adakah kamu memiliki kawan sedemikian? Adakah kamu seorang kawan sedemikian?

Manusia dalam sifat semula jadinya mementingkan diri sendiri, dan kebanyakan kawan mengejar agenda dan minat sendiri dalam perhubungan mereka denganmu (2Tim 3:1-2; Tit 3:3). Mereka tidak akan memberitahu kamu ini secara langsung, tetapi mereka bercakap lebih banyak tentang diri mereka daripada menanya tentang dirimu. Mereka mengasihimu kerana telingamu! Percakapan mereka adalah tertumpu kepada diri sendiri, cetek, dan tanpa nilai yang benar bagi jiwamu. Mereka makan bersamamu, bergurau senda denganmu, dan mengampumu, tetapi mereka tidak benar-benar melayanimu bagi kebaikanmu sendiri.

Kebanyakan kawan adalah sedikit lebih daripada kenalan sahaja. Mereka memberitahumu tentang keadaan mereka, dan mereka mungkin menanya dan mendengar tentang keadaan kamu. Mereka menghantarmu kad hari jadi dan kad ulang tahun perkahwinan, dan kamu juga membalas sedemikian kepada mereka. Mereka mempertimbangkan perbuatan saling mengampu dan saling menemani sesama ketika mereka mahu ia manis, tetapi mereka kurang faham akan kemanisan yang disebut amsal ini. Jika kamu kehilangan kesihatan, kedudukan, atau kekayaan, mereka kurang mesra seperti dahulu; mereka juga mungkin menghilang diri (Ams 14:20; 19:4,7; Maz 38:11).

Kawan yang hebat berbuat lebih daripada itu (Ams 17:17; 18:24; 1Sam 18:3; 20:17). Mereka lebih berminat menguntungkanmu daripada kesenangan diri mereka, dan lebih berminat dalam penyempurnaanmu daripada keamanan diri mereka. Mereka memahami kasih sejati – keinginan yang berkorban bagi kemakmuranmu secara jiwa dan tubuh. Masa yang sukar dalam kehidupanmu tidak menghalau mereka daripadamu; masa yang sukar menarik mereka lebih dekat kepadamu: mereka tahu bahawa mereka boleh memainkan peranan yang lebih besar dan lebih membantumu dalam kesukaran daripada kejayaan.

Apakah nasihat yang kesungguhan? Ia nasihat dari hati – tulus, ikhlas, dan dengan sayang. Ia nasihat yang penuh dengan kesucian hati dan kemurahan, dan perasaan sayang dan persahabatan. Ia bertentangan dengan borak-borak kosong, gurau senda bebal, percakapan yang mementingkan diri, atau kata-kata mengampu yang ada udang di sebalik batu. Dan ia melebihi nasihat dan arahan, tidak kira betapa benar dan bernilai. Pemahaman simpati ialah salap bagi jiwa (Rom 12:15; Ayb 2:11-12; 42:11).

Apakah itu manis? Ia apa yang jarang, menghibur, dan memprovokasi jiwa. Ia menimbulkan jiwa dengan perasaan keyakinan, kebaikan, harapan, sukacita, dan kesyukuran. Sementara bau yang wangi boleh menyenangkan tubuh, demikian juga nasihat yang kesungguhan menghidupkan jiwa. Kenikmatan jauh lebih baik dikongsi, dan dukacita harus dikongsi (Pkh 4:9-12). Kebanyakan persahabatan disukat sebagai manis berdasarkan apa yang dapat diperoleh daripada perhubungan itu. Tetapi itu tidak benar dengan kawan yang salih (Mat 7:12; Kis 20:35).

Yonatan dan Daud merupakan kawan yang paling baik dalam Alkitab. Mereka bertemu selepas Daud membunuh Goliat dan menjadi wira Israel. Walaupun pewaris yang nyata sebagai pemerintah Israel, Yonatan masih mengasihi Daud bagi ketabahannya, sikap baik budinya, dan kesalihannya. Sementara orang lain mungkin beriri hati dan membenci Daud, Yonatan mengasihi jiwanya sendiri (1Sam 18:1-3). Kesayangan dan kesetiaan sebegitu membara sehingga Yonatan mengikat waad [janji] nyawanya dan pelayanannya kepada Daud, dan Daud mengikat waad untuk melindungi keluarga Yonatan (1Sam 18:4; 19:1-2; 20:9-17).

Sementara melarikan diri daripada raja Saul, Daud kerap kali bersembunyi di tempat yang terpencil untuk keselamatan. Yonatan, walaupun anak raja dan pewaris pemerintahan Israel (1Sam 20:30-31), dan walaupun merupakan pewira yang gagah perkasa juga (1Sam 14:1-17), memasuki hutan dan menggalakkan Daud dalam Tuhan (1Sam 23:16). Yonatan mengingat Daud tentang kesetiaan Allah dan menjanjikan kesetiaannya sendiri. Dia mengangkat Daud dari ambang kekecewaan rohani dan menghiburkannya dengan sungguh-sungguh. Betapa manisnya persahabatan dan nasihat kepada kedua-dua mereka pada hari itu di dalam hutan!

Pertimbangkan nasihat yang diberi Yonatan kepada Daud (1Sam 23:17). Dia pertama-tama berkata, Tiada apa pun sebab untuk takut kepada ayahku; Allah akan menyelamatkanmu (Maz 27:1-14). Kemudian dia berkata, Kamu akan menjadi raja yang kemudian, sebab Allah akan menepati janjiNya (1Sam 16:13). Ketiga, dia dengan rendah hati menunduk kepada pemilihan Allah akan Daud, dan menjanjikan pengabdian dirinya dan pelayanan daripada dirinya kepadanya (Ams 17:17). Dan keempat, dia memberitahu Daud bahawa ayahnya tahu bahawa dia berpihak kepada Daud dan bukan kepada ayahnya sendiri (1Sam 20:30-31).

Adakah persahabatan dan nasihat ini manis kepada Daud? Jawapannya jelas (1Sam 23:18). Mereka mengikat waad bersama di hadapan TUHAN. Yonatan menjanjikan kesetiaannya dan pelayanannya kepada Daud melebihi ayahnya dan kedudukan memerintah Israel; Daud menjanjikan Yonatan kedudukan yang diingininya dan penjagaan selamanya bagi keluarga Yonatan. Betapa manis persahabatan dan nasihat itu kepada Daud! Dia kira kasih Yonatan lebih besar daripada kasih mana-mana pun isterinya (2Sam 1:26).

Yonatan bukan satu-satunya kawan Daud. Daud yang berakhlak mulia ini ada banyak kawan. Pertimbangkan Itai, orang Gat itu, iaitu salah seorang pahlawan yang paling baik dari kalangan orang Filistin, yang telah memilih untuk mengkhianati negaranya sendiri untuk memakai seluruh hidupnya untuk melayani Daud (2Sam 15:16-23). Pertimbangkan Hiram raja Tirus, yang melakukan keredaan bagi Daud dan anak lelakinya kerana mengasihinya (1Raj 5:1; 2Sam 5:11).

Ada contoh persahabatan lain di dalam Alkitab. Pertimbangkan Yehu dan Yonadab menghapuskan sembahyang Baal dari Israel (2Raj 10:15-28). Adakah kamu tahu tentang Paulus dan Timotius dan pembinaan gereja-gereja Wasiat Baru di kalangan orang bukan Yahudi (Kis 16:1-3; Flp 2:19-22; 2Tim 1:1-5)?

Pernahkah kamu membaca tentang Akwila dan Priskila yang memberi kesungguhan nasihat mereka kepada Apolos (Kis 18:24-28)? Andreas merupakan sahabat sejati kepada Petrus (Yoh 1:40-42), dan Filipus kepada Natanael (Yoh 1:43-51). Bagaimana pula dengan Rut dan Naomi (Rut 1:16-17; 3:1-5; 4:13-17) dan Lukas dan Teofilus (Luk 1:1-4; Kis 1:1)? Dan Maria, Marta, Lazarus, dan Yesus (Luk 10:38-42; Yoh 11:1-46)? Dan kamu tidak boleh melupakan kesungguhan nasihat yang Yitro beri kepada Musa (Kel 18:1-23).

Kesungguhan nasihat melibatkan teguran dan amaran. Daud menulis, “Biar orang benar memukulku; itu merupakan kebudian: dan biarlah dia menegurku; itu merupakan suatu minyak yang sempurna, yang tidak akan memecahkan kepalaku: sebab doa-doaku masih kekal juga pada waktu kesusahan mereka” (Maz 141:5). Pembetulan yang murah hati oleh orang yang mengingini penyempurnaanmu ialah persabatan yang manis dan yang sejati. Kasih sejati memperbetulkan dosa, dan itu bercanggahan dengan gagasan-gagasan dunia tentang persahabatan (Ima 19:17). Orang salih mengingini luka daripada seorang kawan melebihi ciuman daripada musuh, dan teguran terbuka adalah lebih baik daripada kasih yang rahsia (Ams 27:5-6).

Daud ada banyak isteri, tetapi dia hanya ada seorang sahabat yang hebat di antara mereka. Siapakah itu? Ia bukan kekasihnya yang pertama, Mikhal, sebab dia memandang hina kasih Daud yang membara bagi Allah dan sembahyangNya (2Sam 6:20-23). Ia bukan ibu Salomo, Batsyeba, sebab Batsyeba mengambil bahagian dalam dosa keji perzinaan dengan Daud (2Sam 11:1-5). Ia Abigail, yang dengan kesungguhan memberi amaran kepadanya tentang kesilapan besar merosakkan reputasinya kalau membunuh suami Abigail yang durjana itu (1Sam 25:1-44). Berapa manisnya nasihat itu? Daud memberkati Abigail dan berkahwin dengannya sebaik sahaja Abigail sudah tidak bersuami!

Di manakah mungkin sahabat-sahabat demikian ditemui? Mereka sungguh jarang, tetapi mereka dapat ditemui di antara murid-murid Yesus Kristus, yang telah belajar persahabatan sejati daripada Tuhan dan Tuan mereka (Yoh 13:34-35; 15:11-17). Orang Kristian yang jarang ini berada di dalam gereja sejati Yesus Kristus, iaitu tempat yang Roh Kudus dan Firman Allah membentuk hati manusia untuk menjadi kawan yang rela berkorban, yang melayani, yang peka, dan yang bersimpati iaitu yang disebut oleh amsal ini (Flp 1:3-5). Hakikatnya, darah dan doktrin Yesus Kristus ialah ikatan silaturahim yang paling berpadu berbanding semua ikatan manusia yang lain.

Bagaimanakah kamu dapat belajar persahabatan sedemikian? Dengan takut akan Tuhan, kasih Yesus Kristus, berjalan dalam Roh Kudus, dan mengamalkan 1 Korintus 13:4-7! Bahan-bahan inilah sahaja yang akan menjadikanmu seorang kawan yang menyukakan hati. Tiada jalan pintas. Kalau kamu mengabaikan salah satu daripada bahan di atas, kamu akan menjadi kawan yang sia-sia (Ams 18:24). Kamu ada kemampuan untuk berhubung dengan orang yang lain (Ams 27:19), dan kamu harus memakai itu untuk memajukan mereka (Ams 27:17).

Tiada ruang untuk sikap mementingkan diri sendiri, melindungi diri sendiri, atau mempromosikan diri sendiri dalam persahabatan yang sejati. Kamu harus rela untuk mendedahkan dirimu kepada kawanmu supaya membantunya. Mana mungkin adanya cara lain yang dapat kamu menghiburkan kawan yang bermasalah kalau bukan “dengan penghiburan yang kita sendiri dihiburkan oleh Allah” (2Kor 1:4)? Rasul telah mengarahkan, “Akuilah kesalahan-kesalahanmu antara satu sama lain” (Yak 5:16). Dapatkah kamu membangunkan dalam dirimu hati kawan sejati ini?

Berapa pentingnya kawan sedemikian? Mereka harus disanjungi dan dilindungi jauh melebihi ahli-ahli keluargamu sendiri (Ams 27:10). Usaha besar harus dibuat untuk mengelak bersalah terhadap mereka (Ams 18:19). Salomo mengekalkan persahabatan baik dengan Hiram, yang selalu mengasihi Daud (1Raj 5:1-18). Tetapi Rehabeam yang bebal dan yang cabul itu telah meninggalkan kawan-kawan Salomo untuk menurut kawan-kawannya yang jahil dan akhirnya kehilangan majoriti kerajaannya kepada musuhnya (1Raj 12:1-20).

Hai pembaca, akankah kamu menyumbang bau harum persahabatan sejati kepada dunia yang keji ini? Atau akankah kamu menyumbang kepada kebusukan sikap tidak peka kerana mementingkan diri sendiri? Akankah kamu berarak ke rumah Allah dan menemui perikatan jiwa ini di antara orang-orang kudus Allah? Jika gerejamu kekurangan persahabatan jenis ini, maka tunjukkan mereka cara melakukannya. Dan hormatilah mereka yang berbuat itu kepadamu. Tiada persahabatan yang seperti Yesus Kristus, jadi bermuladengan memupuk perhubungan sihat denganNya.